Objektif

PERKONGSIAN SEGALA BENTUK ILMU PENGETAHUAN, MAKLUMAT, AKTIVITI - AKTIVITI UNTUK KEBAIKAN SELURUH PENOLONG PEGAWAI TANAH PULAU PINANG DAN SELURUH PENOLONG PEGAWAI TANAH DI SEMENANJUNG MALAYSIA SERTA UMUM.




Selasa, 29 November 2011

Perlembagaan PPPTPP

UNDANG-UNDANG  BAGI
PERSATUAN PENOLONG PEGAWAI TANAH
PULAU PINANG


KANDUNGAN


FASAL 1 …  NAMA

FASAL 2 …  TEMPAT URUSAN

FASAL 3 ….  TUJUAN/MATLAMAT

FASAL 4    KEAHLIAN

FASAL 5    BAYARAN YURAN DAN BAYARAN LAIN

FASAL 6    PEMBERHENTIAN DAN PEMECATAN AHLI

FASAL 7    MESYUARAT  AGUNG

FASAL 8    JAWATANKUASA

FASAL 9    KEWAJIPAN PEGAWAI-PEGAWAI

FASAL 10 …  KEWANGAN

FASAL 11 …  PEMERIKSA KIRA-KIRA

FASAL 12 …  PEGAWAI HARTA

FASAL 13 …  TAFSIRAN UNDANG-UNDANG

FASAL 14 …  PENASIHAT/PENAUNG

FASAL 15 …  LARANGAN

FASAL 16 …  PINDAAN UNDANG-UNDANG

FASAL 17 …  PEMBUBARAN

UNDANG-UNDANG  BAGI
PERSATUAN PENOLONG PEGAWAI TANAH PULAU PINANG.

FASAL  1   NAMA

Pertubuhan ini dikenali dengan nama PERSATUAN PENOLONG PEGAWAI TANAH PULAU PINANG. Selepas ini disebut “Persatuan”.

FASAL 2    ALAMAT TEMPAT  URUSAN

Alamat berdaftar ialah Pejabat Tanah Dan Galian, Tingkat 22, 10000 KOMTAR, Pulau Pinang dan tempat urusan Persatuan Pejabat Daerah dan Tanah, Timur Laut, Unit Penguatkuasaan & Teknikal, Tingkat 50, 10000 KOMTAR, Pulau Pinang atau di tempat-tempat lain yang akan ditetapkan dari semasa ke semasa oleh Jawatankuasa, tempat urusan berdaftar dan alamat surat menyurat Persatuan tidak boleh diubah tanpa kebenaran Pendaftar Pertubuhan terlebih dahulu.

FASAL 3    TUJUAN

(1) Mengadakan aktiviti ekonomi untuk kepentingan Persatuan.

(2) Berusaha menjaga kebajikan ahli-ahli dengan menganjurkan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengannya.

(3) Berusaha meninggikan mutu dan semangat perpaduan dikalangan ahli.

(4) Menggalakkan ahli-ahli supaya mempunyai semangat muhibbah dengan menganjurkan perjumpaan-perjumpaan, majlis-majlis dan ceramah-ceramah untuk ahli-ahli.

(5) Menambahkan tabung kewangan dengan cara yang tidak bercanggah dengan undang-undang. Semua wang dan keuntungan yang didapati oleh Persatuan ini hasil dari penyertaannya dalam mana-mana perniagaan akan digunakan semata-mata untuk melanjutkan, memajukan dan menjalankan tujuan-tujuan Persatuan ini, dan tidak sebahagianpun daripada wang atau keuntungan itu akan digunakan untuk membayar faedah, keuntungan atau bonus kepada sebarang ahli Persatuan. Sungguhpun begitu, peruntukan ini tidak menghalang sebarang pembayaran yang dibuat dengan tujuan baik, untuk membayar gaji atau perbelanjaan atau kedua-duanya kepada sebarang ahli atau pekerja Persatuan  ini.

(6) Menggalakan ahli-ahli supaya berusaha menambahkan ilmu pengetahuan dengan mengadakan kursus, seminar dan latihan-latihan sebagai langkah untuk meningkatkan mutu perkhidmatan.

FASAL 4     KEAHLIAN

(1) Keahlian adalah terbuka kepada semua Penolong Pegawai Tanah yang dilantik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam tanpa mengira jantina, bangsa dan ugama.  Bilangan ahli tidak terhad.

(2) Tiap-tiap permohonan menjadi ahli hendaklah dicadangkan dan disokong oleh seorang ahli dan dihantar kepada Setiausaha yang dikehendaki mengemukakan permohonan itu dengan secepat mungkin kepada Jawatankuasa untuk diluluskan. Jawatankuasa boleh mengikut budibicaranya menolak sebarang permohonan tanpa memberi sebab-sebabnya.

(3) Tiap-tiap pemohon yang permohonannya telah diluluskan seperti yang tersebut diatas, hendaklah setelah membayar bayaran masuk seperti yang ditetapkan diterima menjadi ahli Persatuan dan berhaklah ia sebagai ahli.

FASAL  5    BAYARAN YURAN DAN BAYARAN LAIN
                  
                   Mereka yang menjadi Ahli Persatuan tidak dikenakan bayaran
                   masuk kecuali yuran bulanan/tahunan.

(1) Bayaran yuran yang perlu dibayar adalah seperti berikut:

     Yuran Bulanan  : RM10.00 (Ringgit Malaysia Sepuluh)

(2) Yuran tahunan hendaklah dijelaskan kepada Bendahari terlebih dahulu dalam tempoh tiga bulan dari awal tiap-tiap tahun.

(3) Ahli yang membiarkan hutangnya sebanyak lebih dari  tiga bulan dengan sendirinya terhenti daripada ahli Persatuan dan Jawatankuasa boleh memerintahkan supaya tindakan yang sah diambil terhadapnya dengan syarat mereka berpuas hati bahawa ahli tersebut telah menerima kenyataan hutangnya terlebih dahulu.

(4) Jawatankuasa mempunyai kuasa menetapkan bayaran masuk semula bagi sesiapa yang telah membiarkan keahlian terlucut disebabkan hutang.   
                                               
(5) Yuran-yuran khas atau kutipan wang daripada ahli-ahli untuk perkara yang tertentu boleh dijalankan dengan persetujuan Mesyuarat Agung ahli-ahli. Sekiranya ada ahli yang mungkir membayar wang yuran tersebut dalam masa yang telah ditetapkan, maka wang itu akan dianggap sama seperti hutang yuran tahunan.

FASAL 6     PEMBERHENTIAN  DAN PEMECATAN AHLI

(1) Ahli yang hendak berhenti deripada menjadi ahli Persatuan, hendaklah  memberi kenyataan bertulis dua minggu terlebih dahulu kepada Setiausaha dan menjelaskan segala hutangnya.

(2) Mana-mana ahli yang gagal mematuhi undang-undang Persatuan atau bertindak dengan cara yang akan mencemarkan nama baik Persatuan boleh dipecat atau digantung keahliannya bagi sesuatu tempoh sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Jawatankuasa. Sebelum Jawatankuasa memecat atau menggantungkan keahlian ahli tersebut, ahli itu hendaklah diberitahu akan sebab-sebab bagi pemecatan atau penggantungannya secara bertulis. Ahli tersebut juga hendaklah diberi peluang untuk memberi penjelasan dan membela dirinya. Pemecatan atau penggantungan itu hendaklah dilaksanakan melainkan Mesyuarat Agung menunda atau membatalkan keputusan itu atas rayuan oleh ahli tersebut.
FASAL 7      MESYUARAT  AGUNG

(1) Pengelolaan Persatuan ini terserah kepada Mesyuarat Agung ahli-ahli. Sekurang-kurangnya satu perdua (1/2) daripada jumlah ahli yang berhak mengundi atau dua (2) kali ganda  jumlah Ahli Jawatankuasa, mengikut mana yang kurang, hendaklah hadir didalam Mesyuarat Agung bagi mengesahkan perjalanan mesyuarat dan mencukupkan korum untuk mesyuarat.

(2) Jika korum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat, maka mesyuarat itu hendaklah ditangguhkan kepada suatu tarikh (tidak lebih daripada 30 hari) yang ditetapkan oleh Jawatankuasa ; dan jika korum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat yang ditangguhkan itu maka berkuasalah ahli-ahli yang hadir menjalankan mesyuarat tetapi tidak berkuasa  meminda undang-undang Persatuan dan membuat keputusan-keputusan yang melibatkan semua ahli.

(3) Mesyuarat Agung Tahunan bagi Persatuan hendaklah diadakan dengan secepat mungkin setelah berakhirnya tahun kewangan tetapi tidak lewat daripada 31hb Mac pada tarikh, masa dan tempat yang ditetapkan oleh Jawatankuasa. Kerja-kerja Mesyuarat Agung Tahunan ialah :

(a)  Menerima laporan Jawatankuasa berkenaan perjalanan Persatuan di dalam tahun yang lalu ;

(b) Menerima laporan Bendahari dan penyata kewangan yang telah diaudit bagi tahun yang lalu;

(c)  Memilih Ahli Jawatankuasa dan Pemeriksa Kira-Kira dua tahun sekali; dan

(d) Menguruskan perkara-perkara lain yang dibentangkan di dalam mesyuarat itu.

(4) Setiausaha hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli sekurang-kurangnya 14 hari sebelum Mesyuarat Agung Tahunan diadakan satu agenda mesyuarat termasuk salinan peringatan mesyuarat dan laporan berserta penyata kira-kira Persatuan bagi tahun lalu yang telah diaudit. Salinan surat-surat ini juga hendaklah dibekalkan untuk dibaca oleh ahli-ahli di alamat tempat urusan Persatuan.

(5) Mesyuarat Agung Khas bagi Persatuan ini boleh diadakan :

(a)  Bila difikirkan mustahak oleh Jawatankuasa atau

(b) Atas permintaan beramai-ramai dengan bertulis oleh tidak kurang dari satu perlima (1/5) dari jumlah ahli yang berhak mengundi dengan menerangkan tujuan dan sebab mengadakannya. Permintaan itu hendaklah dihantar kepada Setiausaha Persatuan.

(6) Mesyuarat Agung Khas yang diminta oleh ahli-ahli hendaklah diadakan pada satu tarikh di dalam tempoh satu bulan dari tarikh penerimaan permintaan mesyuarat itu.

(7) Pengumuman dan agenda untuk Mesyuarat Agung Khas itu hendaklah diedarkan oleh Setiausaha kepada semua ahli sekurang-kurangnya 14 hari sebelum tarikh yang telah ditetapkan untuk bermesyuarat.

(8) Fasal 7 (1) dan 7 (2) didalam undang-undang ini berkenaan korum dan penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan boleh digunakan untuk Mesyuarat Agung Khas, tetapi dengan syarat jika korum tidak mencukupi selepas setengah jam dari waktu yang telah ditetapkan bagi Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli maka mesyuarat tersebut hendaklah dibatalkan dan dalam masa 6 bulan dari tarikh ini, Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli dengan tujuan yang sama tidak boleh diadakan.

FASAL 8      JAWATANKUASA

(1) Satu Jawatankuasa seperti berikut yang dinamakan Pegawai Persatuan hendaklah dilantik dua tahun sekali didalam Mesyuarat Agung Tahunan:-

Pengerusi
Naib Pengerusi
Setiausaha
Penolong Setiausaha
Bendahari
11 orang Ahli Jawatankuasa Biasa

(2) Pemegang-pemegang jawatan Persatuan ini dan tiap-tiap pegawai yang menjalankan tugas eksekutif dalam Persatuan ini hendaklah terdiri dari Warganegara Malaysia.

(3) Nama untuk jawatan di Fasal 8(1) di atas hendaklah dicadangkan serta disokong dan pemilihannya dijalankan dengan cara mengundi oleh ahli-ahli dalam Mesyuarat Agung Tahunan. Semua pegawai boleh dilantik semula tiap-tiap dua tahun sekali.

(4) Fungsi Jawatankuasa ialah mengelola dan mengaturkan kerja-kerja harian Persatuan dan membuat keputusan atas perkara-perkara mengenai perjalanan Persatuan mengikut dasar am yang telah ditetapkan oleh Mesyuarat Agung. Jawatankuasa seharusnya tidaklah boleh mengambil tindakan yang bertentangan dengan keputusan Mesyuarat Agung dengan tidak terlebih dahulu berhubung dengannya dan Jawatankuasa mestilah sentiasa mematuhi keputusan Mesyuarat Agung. Jawatankuasa hendaklah mengemukakan laporan berkenaan kegiatannya dalam tahun lalu kepada tiap-tiap Mesyuarat Agung Tahunan.

(5) Jawatankuasa hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali di dalam tempoh tiga (3) bulan. Pengumuman bagi tiap-tiap mesyuarat hendaklah diberikan kepada ahli-ahli 7 hari terlebih dahulu. Pengerusi dengan bersendirian atau tidak kurang daripada 4 orang Ahli Jawatankuasa bersama-sama boleh memanggil supaya diadakan Mesyuarat Jawatankuasa pada bila-bila masa. Sekurang-kurangnya setengah (1/2) daripada Ahli Jawatankuasa hendaklah hadir bagi mengesahkan perjalanan dan mencukupkan korum mesyuarat.

(6) Jika timbul perkara mustahak yang berkehendakkan kelulusan Jawatankuasa dan Mesyuarat Jawatankuasa tidak dapat diadakan maka Setiausaha bolehlah mendapatkan kelulusan Ahli-Ahli Jawatankuasa secara pengedaran surat pekeliling. Syarat-syarat mengenainya seperti berikut hendaklah disempurnakan sebelum keputusan Jawatankuasa boleh dianggap sebagai telah diterima:

(a)  Masalah yang dibangkitkan itu hendaklah dibutirkan dengan terang  di dalam surat pekeliling yang diedarkan kepada tiap-tiap Ahli Jawatankuasa;

(b) Sekurang-kurangnya setengah daripada bilangan Ahli Jawatankuasa mestilah menyatakan persetujuan atau bantahan mereka terhadap cadangan itu ; dan

(c)  Keputusan hendaklah dengan undi yang terbanyak.

(d) Sebarang keputusan yang didapati melalui surat pekeliling hendaklah dilaporkan oleh Setiausaha kepada Mesyuarat Jawatankuasa berikutnya untuk disahkan dan dicatatkan didalam peringatan mesyuarat.

(7) Ahli Jawatankuasa yang mungkir menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa tiga kali berturut-turut tanpa alasan yang memuaskan akan disifatkan sebagai telah meletakkan jawatan didalam Jawatankuasa.

(8) Jika seseorang Ahli Jawatankuasa meninggal dunia atau meletakkan jawatan, calon yang kedua mendapat undi terbanyak di dalam pemilihan yang lalu hendaklah dipanggil untuk memenuhkan kekosongan itu. Jika calon yang sedemikian tidak ada atau menolak jawatan itu, maka berkuasalah Jawatankuasa melantik ahli yang lain memenuhkan kekosongan itu sehingga pemilihan dalam  Mesyuarat Agung Tahunan diadakan.

(9) Jawatankuasa boleh memberi arahan kepada Setiausaha dan pegawai-pegawai lain untuk menjalankan urusan Persatuan, dan melantik pengurus dan kakitangan yang difikirkannya mustahak. Ia boleh menggantungkan atau melucutkan jawatan sebarang pengurus atau kakitangan kerana cuai di dalam pekerjaan, curang, tidak cekap, ingkar menjalankan keputusan Jawatankuasa, atau kerana sebab-sebab yang difikirkan boleh merosakkan kepentingan Persatuan.

(10)Jawatankuasa boleh menubuhkan Jawatankuasa Kecil jika difikirkan mustahak dan memberi kewajipan khas kepada sebarang Ahli Jawatankuasa.

FASAL  9     KEWAJIPAN-KEWAJIPAN  PEGAWAI

(1) Pengerusi dalam tempoh menyandang jawatannya, hendaklah menjadi pengerusi semua Mesyuarat Agung dan semua Mesyuarat Jawatankuasa dan bertanggungjawab atas kesempurnaan perjalanan semua mesyuarat. Ia mempunyai undi pemutus dan hendaklah ia menandatangani peringatan mesyuarat jika telah diluluskan.

(2) Naib Pengerusi hendaklah membantu Pengerusi dalam menjalankan tugas-tugasnya dan memangku jawatan Pengerusi semasa ketiadaannya.

(3) Setiausaha hendaklah menjalankan kerja pentadbiran Persatuan mengikut undang-undang dan hendaklah ia menjalankan perintah Mesyuarat Agung dan Jawatankuasa. Ia bertanggungjawab mengendalikan urusan surat menyurat dan menyimpan semua buku, surat dan kertas kecuali akaun dan buku-buku kewangan. Setiausaha hendaklah menyimpan buku daftar ahli yang mengandungi butir-butir seperti nama, tempat dan tarikh lahir, nombor kad pengenalan, pekerjaan,nama dan alamat majikan dan alamat rumah tiap-tiap ahli. Ia hendaklah hadir di dalam semua mesyuarat dan membuat catatan mesyuarat. Setiausaha hendaklah dalam masa 60 hari dari tarikh Mesyuarat Agung Tahunan diadakan mengirimkan  penyata tahunan Persatuan kepada Pendaftar Pertubuhan sebagaimana yang dikehendaki di bawah Seksyen 14(1) Akta Pertubuhan , 1966.

(4) Penolong Setiausaha hendaklah menolong Setiausaha menjalankan kerja-kerjanya dan memangku jawatan itu semasa ketiadaan Setiausaha.

(5) Bendahari adalah bertanggungjawab berkenaan semua hal kewangan Persatuan. Ia hendaklah membuat dan menyimpan kira-kira berkenaan semua perkara kewangan dan bertanggungjawab di atas ketepatannya.

(6) Ahli Jawatankuasa Biasa hendaklah membantu Jawatankuasa dalam menjalankan tugas yang diarahkan olehnya.
FASAL  10    KEWANGAN

(1) Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan berikut dalam undang-undang ini wang Persatuan ini boleh digunakan untuk perkara yang berfaedah bagi menjalankan tujuan-tujuan Persatuan, termasuk belanja pentadbiran, bayaran gaji, biayaan dan perbelanjaan pegawai-pegawai dan kakitangan yang bergaji serta upah memeriksa kira-kira. Walau bagaimanapun, wang itu tidak boleh digunakan untuk membayar denda ahli yang telah dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah.

(2) Bendahari dibenarkan menyimpan wang runcit tidak lebih daripada RM 500.00 (Ringgit Malaysia Lima Ratus sahaja) pada sesuatu masa. Wang yang lebih daripada jumlah itu mestilah dimasukkan ke dalam bank yang diluluskan oleh Jawatankuasa. Kira-kira bank itu hendaklah di atas nama Persatuan.

(3) Segala cek atau kenyataan pengeluaran wang dari kira-kira Persatuan hendaklah ditandatangani bersama oleh dua orang daripada pegawai-pegawai berikut:- Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari.

(4) Perbelanjaan yang lebih daripada RM 500.00(Ringgit Malaysia Lima  Ratus) bagi sesuatu masa tidak boleh dibayar dengan tidak diluluskan  terlebih dahulu oleh Jawatankuasa, dan perbelanjaan yang lebih dari RM 2000.00 (Ringgit Malaysia Dua Ribu) bagi sesuatu masa tidak boleh dilakukan tanpa mendapat kebenaran Mesyuarat Agung terlebih dahulu. Perbelanjaan yang kurang dari RM 500.00 (Ringgit Malaysia Lima Ratus) bagi sesuatu masa boleh diluluskan oleh Pengerusi  bersama Setiausaha dan Bendahari.

(5) Penyata perihal wang yang diterima dan dibelanjakan serta kunci kira-kira bagi setahun hendaklah disediakan oleh Bendahari dan diperiksa oleh Pemeriksa Kira-kira yang dilantik di bawah Fasal 11 undang-undang ini dengan seberapa segera setelah tamatnya tahun kewangan. Penyata kira-kira yang telah diaudit itu hendaklah dikemukakan untuk kelulusan oleh Mesyuarat Agung Tahunan yang berikut dan salinannya hendaklah dibekalkan untuk makluman ahli ditempat urusan Persatuan.

(6) Tahun kewangan Persatuan ini bermula dari 1 Januari dan berakhir pada 31 Disember tiap-tiap tahun.

FASAL 11     PEMERIKSA KIRA-KIRA

(1) Dua orang yang bukannya Pegawai Persatuan boleh dilantik dua tahun sekali di dalam Mesyuarat Agung Tahunan sebagai Pemeriksa Kira-Kira Kehormat. Mereka akan memegang jawatan selama dua tahun dan boleh dilantik semula.

(2) Pemeriksa Kira-Kira adalah dikehendaki memeriksa kira-kira Persatuan bagi setahun dan membuat laporan atau pengesahan untuk Mesyuarat Agung Tahunan. Mereka harus juga jika dikehendaki pada bila-bila masa oleh Pengerusi mengaudit kira-kira Persatuan bagi mana-mana masa di dalam tempoh perkhidmatan mereka dan membuat laporan kepada Jawatankuasa.

FASAL  12    PEGAWAI HARTA

(1)   Harta yang tidak boleh dialih bagi Persatuan hendaklah didaftar atas nama Persatuan dan segala surat cara yang berkaitan dengan harta itu adalah sah dan berkuatkuasa seolah-olah surat cara-surat cara itu telah disempurnakan oleh tuan punya berdaftar dengan syarat bahawa surat cara-surat cara itu adalah disempurnakan oleh tiga orang pemegang jawatan Persatuan ini yang terdiri daripada Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari yang ada pada masa itu dan perlantikan mereka adalah disahkan oleh suatu perakuan daripada Pendaftar dan dimeterikan dengan meteri Persatuan.

(2)   Segala hak milik kepunyaan Persatuan tidak boleh dijual, ditarik balik atau dipindah hak milik dengan tidak mendapat keluluskan dan kuasa yang diberikan oleh Mesyuarat Agung Persatuan.

(3)  Seseorang Pegawai Harta itu boleh dilucutkan daripada jawatan oleh Mesyuarat Agung oleh sebab uzur kerana penyakit, tidak siuman, tidak berada dalam negeri atau kerana sebab lain yang menyebabkan ia tidak boleh menjalankan tugasnya atau pekerjaan dengan memuaskan. Jika berlaku kematian, perletakan jawatan atau pembuangan bagi seseorang Pengamanah maka kekosongan itu bolehlah dipenuhkan oleh Pengamanah yang baharu dilantik di dalam Mesyuarat Agung.
   
FASAL  13   TAFSIRAN UNDANG-UNDANG

(1) Diantara berlangsungnya Mesyuarat Agung, Jawatankuasa boleh memberikan tafsirannya kepada undang-undang ini dan Jawatankuasa, jika mustahak, boleh memutuskan perkara-perkara yang tidak terkandung di dalam undang-undang ini.

(2) Kecuali perkara-perkara yang bertentangan atau tidak selaras dengan dasar yang telah dibuat dalam Mesyuarat Agung, keputusan Jawatankuasa terhadap ahli-ahli adalah muktamad jika tidak diubah oleh keputusan Mesyuarat Agung.
FASAL  14    PENASIHAT/PENAUNG

                  (1) Jawatankuasa boleh, jika difikirkan perlu, melantik orang-orang yang layak
                 menjadi Penasihat/Penaung bagi Persatuan ini dengan syarat orang
                 yang dilantik itu menyatakan persetujuannya secara bertulis.

FASAL  15   LARANGAN

(1) Permainan yang disebutkan dibawah ini tidak boleh dimainkan di dalam rumah Persatuan : Roulette, Lotto, Fan Tan, Poh, Peh Bin, Belangkai, Pai Kau, Tau Ngau, Tien Kow, Chap Ji Kee, Sam Cheong, Dua Puloh Satu, Tiga Puloh Satu, Sepuloh dan Setengah, semua permainan dadu, banker’s game, permainan video dan semua permainan yang bergantung  semata-mata kepada nasib;

(2) Persatuan atau ahli-ahlinya tidak harus cuba menghalang atau dengan apa cara juga mengganggu perniagaan atau harga barang-barang atau mengambil peranan di dalam gerakan Persatuan Sekerja seperti definisi di dalam Akta Persatuan Sekerja, 1959;

(3) Persatuan ini tidak boleh menjalankan loteri sama ada dikhaskan kepada ahli-ahli atau tidak, atas nama Persatuan atau pegawai-pegawai atau Jawatankuasa atau ahli, tanpa kelulusan daripada pihak berkuasa berkenaan;

(4) “Faedah” seperti yang diterangkan di bawah Seksyen 2 Akta Pertubuhan 1966, tidaklah boleh diberikan oleh Persatuan kepada mana-mana ahlinya.

FASAL  16   PINDAAN  UNDANG-UNDANG

                 (1) Undang-undang ini tidak boleh diubah atau dipinda kecuali dengan keputusan Mesyuarat Agung ahli-ahli. Permohonan untuk perubahan atau pindaan kepada undang-undang hendaklah dibuat kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa 60 hari dari tarikh keputusan Mesyuarat Agung meluluskan perubahan atau pindaan itu dan hanya boleh dikuatkuasakan mulai daripada tarikh perubahan atau pindaan itu diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan.

FASAL  17  PEMBUBARAN

(1) Persatuan ini boleh dibubarkan secara sukarela dengan persetujuan tidak kurang daripada tiga perlima (3/5) daripada jumlah ahli yang berhak mengundi dan hadir dalam suatu Mesyuarat Agung yang dipanggil khas kerananya.

(2) Sekiranya Persatuan hendak dibubarkan secara yang disebutkan di atas, maka segala hutang dan tanggungan Persatuan yang sah mengikut undang-undang hendaklah dijelaskan dan baki wang yang tinggal hendaklah diselesaikan mengikut cara yang dipersetujui dalam Mesyuarat Agung berkenaan.

(3) Kenyataan bersabit dengan pembubaran itu hendaklah disampaikan kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa 14 hari dari tarikh pembubaran itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Topik Berkaitan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...